02 February 2011

Dipenjara 66 tahun dan 21 sebatan kerana samun.

Dua lelaki semalam masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 66 tahun dan 21 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar kerana melakukan 10 samun secara berkumpulan di sembilan stesen minyak di sekitar bandar raya ini antara Jun hingga Oktober tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Abdullah Mat Daud, 26, dan Mohd Azrul Ashwar Mohd Shafie, 23, dari Kampung Panchur, Derang, Pokok Sena kerana melakukan samun bersenjatakan pisau pemotong daging dan pistol tiruan ke atas sembilan stesen minyak sejak 6 Jun hingga 1 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, Norsharidah memerintahkan hukuman ke atas Abdullah dan Mohd Azrul Ashwar berjalan serentak dengan 10 tahun penjara dan 21 sebatan bermula daripada tarikh mereka ditahan pada 28 November lalu.
Kedua-dua tertuduh yang mengaku salah didakwa melakukan samun berkenaan dengan bertindak mengancam jurujual di sembilan stesen minyak terbabit dengan mengacukan pistol tiruan jenis Galaxy atau pisau pemotong daging ke atas mangsa serta melarikan wang tunai keseluruhan bernilai RM35,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sembilan stesen minyak iaitu Caltex di Lebuhraya Darulaman, Esso Jalan Kanchut, Shell Jalan Alor Merah, Petronas Jalan Langgar, Shell Jalan Langgar, Shell Jalan Lencong Barat, Petronas Jalan Lencong Barat, Shell Jalan Putra dan Mobil Jalan Putra.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan.

Ketika membacakan penghakimannya, Norsharidah berkata, kesalahan dilakukan tertuduh amat berat kerana membabitkan 10 kes samun yang mendatangkan ketakutan kepada orang awam.
Katanya, tindakan tertuduh disifatkan keterlaluan kerana menggunakan kekerasan termasuk mengacukan pistol tiruan dan pisau pemotong daging terhadap semua mangsa serta perlu diberi hukuman setimpal dengan jenayah dilakukan.

“Hukuman yang dijatuhkan ini diharap dapat memberi muhasabah diri kedua-dua tertuduh dan insaf terhadap jenayah yang dilakukan,” katanya.

Terdahulu sebelum keputusan dibacakan, Abdullah merayu supaya mahkamah meringankan hukuman dengan alasan mempunyai tanggungan anak dan isteri, manakala Mohd Azrul Ashwar memberi alasan mahu mendirikan rumah tangga.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Azlina Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...